Memaparkan catatan dengan label BERITA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BERITA. Papar semua catatan

Jenazah Ashaari Selamat Dikembumi

MALAYSIAKINI - Jenazah bekas pemimpin kumpulan Al Arqam yang diharamkan, Ashaari Muhammad selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pilin dekat Rembau pada kira-kira pukul 10 malam semalam.

Jenazah Ashaari, yang dibawa dengan kereta persendirian dari Ipoh tiba bersama rombongan di kampung asal Allahyarham, Kampung Pilin pada kira-kira jam 8.30 malam.

Jenazah kemudian ditempatkan di surau kampung itu bagi membolehkan sanak saudara dan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarham kemudian disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan yang terletak bersebelahan dengan surau kampung itu.
Kira-kira 1,000 orang hadir pada majlis pengkebumian.

Soi Lek Presiden Baru MCA


KUALA LUMPUR 28 Mac - Bekas Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memenangi jawatan Presiden parti dengan majoriti tipis 68 undi, mengetepikan bekas pemimpin nombor satu Tan Sri Ong Ka Ting dan penyandang jawatan, Datuk Seri Ong Tee Keat dalam pemilihan parti di sini Ahad.

Dr Chua, 62, memperoleh 901 undi berbanding Ka Ting yang meraih 833 undi manakala Tee Keat di tempat tercorot dengan 578 undi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menang jawatan Timbalan Presiden setelah menerima 1,171 undi bagi mengalahkan bekas Naib Presiden dan rakan dalam Jemaah Menteri, Datuk Seri Kong Cho Ha yang mendapat 1,106 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden, calon wanita tunggal, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen memperoleh undi tertinggi iaitu 1,528, diikuti bekas Naib Presiden Datuk Donald Lim (1,469), Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung (1,202) dan anggota Jawatankuasa Pusat Gan Ping Sieu yang juga meraih 1,202 undi.

Ini merupakan satu kemenangan manis buat Dr Chua yang terpaksa bertarung dengan dua pesaing yang sangat berpengaruh, namun membuktikan bahawa beliau masih popular dalam parti meskipun berdepan pelbagai pergolakan.

Anak Bongsu Datuk Manja Ismail Maut Kemalangan


KUALA LUMPUR 22 Mac - Anak bongsu Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa TV7, TV8, TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail, maut dalam kemalangan jalan raya di kawasan perumahan USJ3, Subang Jaya awal hari ini.

Muhammad Ikhwanul Ashraf Manja, 18, bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar yang baru menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia cedera parah dan mati di tempat kejadian.

Ketua Bahagian Keselamatan Awam dan Trafik Selangor Supt Che Hussin Omar berkata, dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, kereta yang dipandu Muhammad Ikhwanul Ashraf, anak bongsu dari tiga beradik itu, dilapor terbabas dan melanggar tembok jalan.

"Ketika kejadian, Muhammad Ikhwanul Ashraf memandu sendirian dan dalam perjalanan dari Persimpangan Kewajipan Subang Jaya menuju ke Jalan SS19.

"Dia dikatakan hilang kawalan lalu melanggar tembok jalan dan terpelanting keluar daripada kereta ke dalam longkang di tepi jalan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ilmuwan Digesa Tidak 'Menikus'

Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dibidas oleh bekas presidennya Syed Husin Ali kerana bersikap menikus dalam menyatakan pandangan mereka kerana bimbang 'melukakan (perasaan) kerajaan.'

Syed Husin yang juga timbalan presiden PKR berkata beliau berasa "hilang ghairah" dengan ilmuwan yang kurang berhubung dengan masyarakat dan menahan diri daripada memberikan analisis kritikal.

"Ini sikap yang sangat salah, ia mencerminkan ketakutan psikologi. Sekarang terlalu banyak ketakutan dan kawalan; (oleh) polis, media, mahkamah, pelajar, pekerja dan juga ahli akademik," katanya ketika menutup Persidangan Pengajian Malaysia (MSC) ketujuh di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Syed Husin, yang juga senator Dewan Negara selama tiga penggal, berkata demikian dengan merujuk kepada seorang pembentang kertas kerja di persidangan tersebut.

Menurutnya, peserta berkenaan tidak berani mengulas lebih jauh daripada topik yang dibentangkannya kerana bimbang melukai perasaan kerajaan.

AMK Lawat Mangsa Kemalangan

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menziarahi keluarga allahyarham Mohd Salleh yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya 13 Mac lalu yang membabitkan ahli parlimen Batu, Tian Chua.
Lawatan semalam itu diketuai oleh ketua AMK Johor, Zabidie Abas dan beberapa pemimpin lain bagi menyampaikan ucapan takziah dan rasa prihatin mereka berhubung kejadian berkenaan.

Kehadiran mereka disambut baik oleh keluarga allahyarham.

Mereka menghabiskan hampir satu jam setengah berbincang serta mendengar luahan keluarga allahyarham mengenai apa yang terjadi.

Menurut Zabidie, kunjungan susulan akan diadakan bagi memastikan hubungan sosial tidak terputus.

MB Selangor Menang Kes Saman RM66 Juta

Mahkamah Rayuan Putrajaya mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Tan Sri Khalid Ibrahim (bawah) melunaskan pinjaman berjumlah RM66.67 juta kepada Bank Islam Malaysia Berhad berhubung pembelian saham Guthrie, sembilan tahun lalu.

Pembayaran itu berhubung pinjaman yang dibuat beliau untuk membeli saham Guthrie pada 2001 ketika beliau menjadi Ketua Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan. 

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga anggota yang diketuai oleh Hakim Zainun Ali.

Hakim lain ialah hakim Jeffrey Tan Kok Hwa dan Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad.

"Mahkamah berpendapat di bawah prinsip perbankan Islam, pandangan perlu diambil dari juri Islam berhubung kesahihan urusniaga itu," katanya.

"Justeru, perkara berkenaan perlu melalui perbicaraan penuh," katanya.

'Perkukuh Perpaduan, Jadikan Islam Terbilang'

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Syah (bawah, bersongket emas) bertitah umat Islam perlu mengukuhkan persaudaraan, membina perpaduan dan meningkatkan pencapaian agar terus menjadi umat yang terbilang.
Baginda bertitah tanpa menghayati ajaran Islam yang sebenar diyakini umat Islam tidak akan mampu menjadi umat contoh bahkan akan terus dihina dan diperlekehkan.

"Sejarah telah membuktikan bahawa keagungan tamadun Islam yang dahulunya hebat dan gagah akhirnya tersungkur lantaran ada antara penganutnya yang tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.

"Malahan yang lebih mendukacitakan telah berlaku perpecahan, pergeseran dan persengketaan di kalangan sesama umat Islam," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Masjid Putra di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Sultanah Kedah Tuanku Hajah Haminah Hamidun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Pakar Setuju Bukan Melayu Boleh Jadi PM

Di sudut perlembagaan, seorang lagi pakar perlembagaan terkenal Prof Datuk Shad Saleem Faruqi (bawah), sependapat bahawa golongan bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri Malaysia.
Mengulas kenyataan rakan sejawatannya Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengenai perkara itu, beliau berkata: 

“Tiada larangan terhadap bukan Melayu (untuk menjadi perdana menteri). Bagaimanapun kita ada konvensyen (kebiasaan).

“Saya rasa berdasarkan realiti politik di negara ini, ini negara Melayu,” kata pensyarah kanan di fakulti undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Beliau diminta mengulas kenyataan rakan akademiknya Prof Dr Abdul Aziz Bari yang berkata, perlembagaan tidak meletakkan syarat Melayu atau Islam untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Mohd Shah Cadang Sambut Raya Tahun Ini Di Melaka

Pemandu di Jabatan Penuntut Malaysia, Mohd Shah Saemin yang mati dipercayai akibat ditikam dan dibelasah dengan tukul di Sydney, Australia pernah memberitahu keluarganya bahawa beliau mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini bersama keluarganya di Melaka.

Bapa Allahyarham, Saemin Mongjin, 69, berkata kali terakhir anaknya itu pulang menyambut Aidilfitri ialah tiga tahun lalu.

"Kira-kira tiga hari lepas, Allahyarham ada menghubungi ibunya (Misnah Kasri, 60,) untuk bertanya khabar dan sempat berbual bersama saya," katanya kepada pemberita di Melaka.

Mohd Shah, 43, yang sudah menjadi warga Australia dan menetap di Sydney sejak tiga tahun lepas dilaporkan mati dalam satu serangan yang dipercayai berlaku selepas satu kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun punca kematian sebenarnya masih menjadi misteri kepada pihak berkuasa di sana.

Letupan Besar Di Loji Petronas Labuan

Satu letupan besar berlaku di cerowong pembuangan gas terkawal (S1001 Flare Tip) Petronas Methanol Labuan (PML) hari ini, memaksa operasi di tapak loji minyak bernilai RM511 juta itu dihentikan.

Seramai 82 pekerja kontrak dan 46 petugas Petronas Methanol Labuan sedang bekerja di situ ketika letupan berlaku pada pukul 11.37 pagi tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Duah buah jentera bomba masing-masing dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan dan unit bomba penyelamat PML dikerah mengawal kebakaran akibat letupan tersebut, dan berjaya mengawal keadaan 30 minit kemudian.

Bercakap kepada satu sidang akhbar, ketua produksi PML Mohd Kamis Abdul Manap berkata siasatan terperinci akan dibuat bagi mengenal pasti punca letupan.

"Kita akan buat siasatan menyeluruh sebelum kerja-kerja dapat diteruskan di tapak loji ini. Ini adalah kejadian pertama berlaku di cerowong pembuangan gas asli terkawal ini. Kita akan mengenal pasti sama ada wujudnya kepincangan dalam aspek keselamatan," kata Mohd Kamis.

PKR Ada Mekanisme Konkrit Tapis Calon PRU 13

Dalam melahirkan seramai mungkin calon berwibawa, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah mempunyai mekanisme khas bagi memilih calon parti berkenaan, pada pilihan raya umum akan datang.

Mekanisme itu sudah dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat sebaik sahaja berakhirnya pilihan raya umum ke-12 dalam usaha mengetengahkan lebih ramai calon berpotensi pada masa depan. 

Pengarah Pilihan raya PKR, Fuziah Salleh berkata, mekanisme itu dilaksanakan melalui dua program latihan khusus kepada ahli dan pemimpin yang berpotensi menjadi calon.

Katanya, kedua-dua program itu dijangka dapat meningkat kefahaman mereka mengenai dasar perjuangan dan menyemai disiplin tinggi dan kesungguhan membela rakyat.

"Kita sudah memulakan usaha ini sejak 2008 lagi. Memang ada kekelemahan calon sebelum ini tapi melalui penubuhan ARK, ia akan banyak membantu," katanya kepada TV Selangor.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengakuan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa sesetengah calon PKR yang menang tidak mencapai kualiti yang ditetapkan.

SPRM Digesa Siasat Umno Adakan Konvensyen Di UiTM

PAS mempersoalkan tindakan Umno Pahang yang didakwanya mengunakan fasiliti milik rakyat - Universiti Teknologi Mara (UiTM Jengka, Pahang) - untuk mengadakan konvensyen Umno yang bakal dirasmikan oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, PAS mahu Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat status pengunaan UiTM Pahang sebagai lokasi konvensyen Umno itu.
Ketua penerangan PAS, Idris Ahmad (kanan) berkata seramai 2,000 ahli Umno Pahang dijangka berkampung di UiTM Jengka hujung minggu ini.

“Konvensyen Umno Pahang diadakan dari 19-21 Februari ini merupakan program politik yang jelas bertentangan dengan Akta UiTM 174 yang tidak membenarkan program politik diadakan di dalam universiti berkenaan.

“Walaupun ada peruntukan 'dengan kebenaran menteri' tetapi kebenaran yang diberikan itu boleh dipertikaikan kerana selama ini UiTM begitu keras menolak mahasiswa dan kakitangannya melibatkan diri dalam politik, apalagi membenarkan program politik di dalam kampusnya.

“Kalau dengan alasan sudah mendapat restu menteri, jawapan itu juga boleh dipersoalkan kerana menteri pengajian tinggi juga adalah ahli Majlis Tertinggi Umno,” kata Idris dalam satu kenyataan hari ini.

Mokhzani Mahathir Antara 20 Terkaya Di Malaysia

Datuk Mokhzani Mahathir - anak mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - tersenarai dalam 20 orang terkaya di Malaysia, demikian menurut hasil kaji selidik majalah Malaysian Business.

mokhzani mahathirSehingga 15 Januari lalu, Mokhzani dari Kencana Petroleum, disenaraikan dengan kekayaan sebanyak RM1.075 bilion untuk menduduki tangga ke-20 orang terkaya di Malaysia.

Jutawan Melayu lain yang disenaraikan ialah Tan Seri Syed Mokhtar AlBukhary dari Yayasan AlBukhary, dengan kekayaan sebanyak RM6.01 bilion di tangga ke tujuh.

Manakala Tan Sri Azman dari Arab-Malaysian Corp di senaraikan di tangga ke-11 dengan kekayaan sebanyak RM2.8 bilion.
Datuk Seri Nazir Razak - adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - dari Kumpulan CIMB, turut disenaraikan antara 40 orang terkaya di Malaysia.

Sementara itu, Bernama melaporkan, menurut kaji selidik Malaysian Business, kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia mencatat peningkatan terkumpul bernilai RM156.7 bilion pada 15 Januari atau 63 peratus lebih RM96.3 bilion, berikutan pemulihan dalam pasaran saham.

SU Politik Nor Yakcob Letak Jawatan

Hasbie Satar, setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah meletakkan
jawatan berkuatkuasa semalam, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Kenyataan satu perenggan itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu.Bagaimanapun, beberapa lamanweb melaporkan bahawa seorang setiausaha politik telah diminta meletak jawatan selepas ditangkap bersama-sama wang tunai RM2 juta di Pulau Pinang Khamis lalu.

Laporan itu juga menyebut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut merampas kereta dan rumah mewah.

Manakala akaun banknya telah dibekukan tahun lalu, selepas SPRM dikatakan mendapati dia hidup di luar kemampuannya.


Sumber : Malaysiakini

'Filem Malaysia Gagal Terap Unsur 'Islam'

Industri perfileman di Malaysia dikatakan masih gagal dalam menghasilkan karya yang mampu menerapkan unsur-unsur Islam untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara lebih berkesan.

Penulis novel popular, Ayat-ayat Cinta yang berasal dari Indonesia, Habiburrahman el-Shirazy, berpendapat pembikin filem di negara ini masih tidak berani untuk menonjolkan seni Islam dan amalannya dalam karya mereka menyebabkan mereka ketinggalan berbanding hasil dari negara jiran itu.

Beliau berkata apa yang paling penting adalah niat dan masyarakat semestinya akan melihat hasil dan ini semua bergantung kepada penulis itu sendiri.

"Malah, di Malaysia mereka masih tidak berani menaikkan nilai dan imej-imej Islam dengan lebih mendalam dan contoh yang paling mudah ialah seperti aktiviti keagamaan di dalam masjid.

"Tetapi di Indonesia, kita mengangkat masjid sebagai nilai Islam dan kalau ada nilai, kena ada simbolnya iaitu masjid itu sendiri. Ini yang kita buat untuk masyarakat di sana ," katanya ketika ditemui semasa program 'Hari Hiburan Islam' di Kota Bharu hari ini.

Anak Raja Petra Tertelan Pisau Cukur

Raja Azman Raja Petra, anak lelaki editor Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin, yang baru-baru ini dipenjarakan kerana mencuri, dimasukkan ke hospital selepas dia dipercayai menelan sebilah pisau cukur. 

Ketua Polis Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata Raja Azman, 34, dijumpai dalam keadaan lemah dalam sel penjaranya oleh petugas dari penjara Sungai Buloh semasa melakukan tugas rondaan pada Selasa petang.
Beliau berkata Raja Azman, yang mempunyai kesan kelar di pergelangan tangan, segera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilaporkan stabil.

Bapa mangsa, yang menulis dalam laman blognya Malaysia Today, mendakwa bahawa Raja Azman mengambil tindakan drastik itu memandangkan dia tidak lagi dapat manahan siksaan fizikal dan mental yang dikenakan terhadapnya oleh pihak berkuasa penjara.

Rahim bagaimanapun enggan mengulas dakwaan Raja Petra itu. 

"Siasatan masih di peringkat awal. Berilah kami masa," katanya ketika dihubungi.

Raja Azman, anak kedua Raja Petra, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur tahun lalu terhadap empat tuduhan mencuri dan memiliki harta curi.

Culik Altantuya : 'Nasir Safar Di Tempat Kejadian'

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam mendakwa Datuk Nasir Safar berada di lokasi apabila anggota polis menahan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, demikian menurut peguamnya, Americk Sidhu.



Dakwaan tersebut disiarkan dalam Suara Keadilan - akhbar rasmi PKR.

Suara Keadilan memetik emel Sidhu kepadanya yang mendakwa Bala, mengenali bekas pembantu khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abd Razak itu apabila melihat gambar Nasir (kiri, bertali leher) di blog.

Nasir diheret dengan kontroversi apabila minggu lalu dia membuat ucapan yang berbaur perkauman pada seminar 1Malaysia di Melaka.

Dia didakwa sebagai berkata kaum Cina dan India sebagai pendatang.

Akibat bantahan dan kemarahan pemimpin dan rakyat, Nasir kemudiannya meletakkan jawatannya.

Sembilan Telefon Bimbit Antara Bukti Kes Adun

Sembilan telefon bimbit adalah antara 20 barang bukti yang diterima Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu untuk perbicaraan kes menggugut tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

Selain itu empat komputer riba turut dijadikan bahan bukti dalam kes Datuk Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, 38, bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yang didakwa membuat ugutan jenayah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada tiga Adun Barisan Nasional Terengganu pada April tahun lalu.

Tertuduh turut didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan kepada tiga Adun itu iaitu Adun Paka Mohd Ariffin Abdullah, Adun Ajil Datuk Rosol Wahid dan Adun Permasuri Abdul Halim Jusoh dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad. 

Saksi pertama kes Koperal Zulbahari Abdul Manan, 43, dari Cawangan Jenayah dan Stor Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu berkata 20 daripada 36 jenis barangan yang diambil daripada tertuduh telah dijadikan bahan bukti dalam kes ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz @ Juned berkata seramai 22 orang saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

13 Kematian Hari Ketiga Ops Sikap Ke-21

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 kematian dicatat pada hari ketiga Ops Sikap ke-21 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula 7 Februari lepas ialah 35 orang.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman Supt Rasdi Ramli berkata daripada 13 kematian itu, lapan terdiri daripada pengguna motosikal, tiga pengguna kereta, seorang penunggang basikal dan seorang pejalan kaki.

Jalan bandaran mencatat kemalangan paling tinggi dengan 526 kes, diikuti jalan persekutuan (229 kes), jalan negeri (141 kes), lebuh raya (65 kes) dan jalan-jalan lain (47 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 1,008 kes, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dalam operasi semalam, sebanyak 10,915 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-21 akan diteruskan sehingga 21 Februari ini, bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Tahun Baru Cina. - BERNAMA

Sumber : mStar Online

Zambry Diisytihar MB Perak Yang Sah

Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara memutuskan bahawa Datuk Seri Zambry Abd Kadir dari BN adalah menteri besar Perak yang sah.

Presiden Mahkmah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, mengetuai panel lima orang hakim yang mendengar kes tersebut.

Yang lainnya ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong dari Mahkamah Persekutuan.

Istana Keadilan di Putrajaya, menjadi tumpuan sejak jam 7 pagi tadi apabila orang ramai beratur untuk mendapatkan pas masuk ke dewan mahkamah. Begitu juga penyokong BN dan Pakatan.
Pada 5 November lalu, Mahkamah Persekutuan telah mendengar rayuan Nizar dan hujah para peguamnya selama enam jam, tetapi telah menangguhkan keputusannya.

Sebelum itu, mahkamah telah menolak permohonan Nizar supaya panel penuh 11 orang hakim atau tambahan bilangan panel hakim, untuk mendengar kesnya itu.

BN mengambil alih pentadbiran negeri Perak apabila tiga ADUN Pakatan rakyat keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.