KUALA LUMPUR 3 Mac - Isu permasalahan Melayu dan kepimpinan kerajaan Pulau Pinang yang dikatakan menjadi faktor Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim dan Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng meninggalkan perjuangan parti, sebenarnya merupakan dakwaan tidak tepat.
Sebaliknya pelbagai isu yang didakwa berlaku di Pulau Pinang berpunca dari kesilapan politik Umno-Barisan Nasional yang gagal menguruskan negeri itu dengan baik selama lebih 50 tahun.
Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusuf berkata bukan sesuatu yang mudah untuk membawa perubahan di Pulau Pinang selepas Pakatan Rakyat mengambilalih segala kebobrokan yang ditinggalkan rejim BN.
"Sebagai pemimpin Balik Pulau, isu yang ditimbulkan oleh Zahrain dan Tan Tee Beng menggambarkan bahawa cabaran mengurus kepimpinan politik Pulau Pinang amat sukar, bagaimana dalam masa 50 tahun pelbagai usaha, sumber, dana dan politik digunakan tetapi Umno gagal membela hak orang Melayu contohnya,'ujar beliau.
Sebaliknya kata Yusmadi Umno dan BN kini menunding jari kepada Pakatan Rakyat dengan mendakwa kerajaan Pulau Pinang gagal membela nasib melayu di negeri itu.