Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Chua Jui Meng berkata penggunaan kalimah Allah sehingga tercetusnya insiden pembakaran gereja dan rumah ibadat adalah "isu politik bukannya isu agama".
Beliau mendakwa Umno cuba menggunakan isu ini untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun katanya, apa yang diharapkan oleh Umno berlaku sebaliknya apabila PAS dan Pakatan Rakyat membuat keputusan untuk mempertahankan penggunaan kalimah ini.
"Selepas kejadian pembakaran gereja tersebut, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pergi melawat kawasan tersebut menyebabkan Umno terkejut dengan tindakan PAS.
"Ditambah pula selepas pembakaran tersebut, penganut agama Kristian mengampuni orang membakar gereja mereka," katanya dalam satu forum kalimah Allah di ibu negara malam tadi.
Selain Chua, forum anjuran Lajnah Penerangan Pemuda PAS, berlangsung di Hotel Antarabangsa Kuala Lumpur, turut dihadiri oleh dua lagi ahli panel iaitu mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin dan Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hasan Tantawi.
Firefighters called to brush fire south of Gardnerville
Setahun yang lalu