Memaparkan catatan dengan label PILIHANRAYA KAMPUS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PILIHANRAYA KAMPUS. Papar semua catatan

Pro-M Cadang Minta Bantuan Majlis Peguam

dikemaskini 4.30pm Mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang tidak puashati dengan keputusan pilihanraya kampus UM minggu lalu bercadang untuk mendapatkan bantuan guaman Majlis Peguam untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

Penasihat Pro-Mahasiswa (pro-M) UM, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, sehingga ini, pihaknya belum lagi memutuskan tarikh dan masa untuk menemui majlis tersebut.


"Ada pihak-pihak berkenaan mencadangkan supaya berjumpa Majlis Peguam untuk mendapatkan nasihat guaman.


"Sehingga ini, ada kecenderungan untuk membawa perkara itu ke mahkamah," katanya kepada Malaysiakini.
Pihaknya juga, kata Shazni, akan turut mendapatkan pandangan dan nasihat daripada beberapa ahli akademik dan peguam berhubung perkara itu.

Menurut Shazni, terdapat beberapa perkara yang akan diketengahkan oleh kumpulan tersebut berhubung dakwaan mereka meragui pelaksanaan sistem mengundi berkumputer (e-undi) Khamis lalu.

Gagal Selami Mahasiswa, Menteri Dianggap Tak Matang

Pengerusi pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya (UM), Mohd Shafie Hashim menyelar kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin yang menyifatkan tindakan sekumpulan mahasiswa berdemonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor UM semalam selepas kalah pada pilihan raya kampus (PRK) sebagai tidak matang.

Shafie sebaliknya mendakwa kenyataan Khaled itu membuktikan bahawa Menteri itu bukan seorang pemimpin rakyat dan mempunyai ego serta tidak ada prikemanusiaan terhadap penindasan.
“Jika begitu, sebenarnya Dato Khaled juga tidak matang kerana mengeluarkan kenyataannya tanpa menyelami apa yang mahasiswa rasai,” katanya menerusi kenyataan akhbarnya hari ini.

Shafie berkata pro-M jelas dengan prinsip perjuangannya yang hanya mahu menegakkan keadilan dan menghancurkan kezaliman terhadap apa sahaja yang berlaku.
Salah tetap salah

“Pro-M tidak bias (berat sebelah) pada mana-mana pihak, yang salah tetap salah, yang benar tetap benar! Dalam konteks pilihan raya Kampus di UM kali ini, kita berhadapan dengan sistem E-voting yang masih baru dan diragui lagi ketelusan dan integriti yang tiada pada pengendalian dan pengurusan sistem berkenaan,” katanya.

Bantahan E-Undi Di UM Memuncak, Pelajar Berang

Suasana tegang menyelubungi Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur malam semalam apabila lebih 500 mahasiswa berkumpul dan bertelingkah berhubung keputusan pilihan raya kampusnya.

Lebih 300 pelajar daripada kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) melancarkan bantahan berhubung pengundian secara berkomputer atau e-undi sejurus selepas keputusan menunjukkan kumpulan pro-aspirasi (pro-A) kembali menguasai universiti ini.
Bantahan yang bermula jam 10.30 malam semalam berlanjutan selama sejam di pejabat canselori, UM.

Walaupun pihak keselamatan cuba menghalang perhimpunan itu tetapi mereka gagal berbuat demikian apabila jumlah yang terbabit semakin ramai.

Pelajar menuntut naib canselor, Ghauth Jamson turun bagi berbincang dengan mereka sambil melaungkan slogan seperti "NC turun", "bantah e-undi" dan "kita marah".

Keputusan Pilihanraya Kampus UM Digantung

Selepas rundingan lebih empat jam hari ini, Universiti Malaya mengambil keputusan untuk menggantung sementara keputusan pilihan raya kampusnya yang diumumkan semalam.

Menurut bekas presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohammad, keputusan itu dipersetujui bersama oleh naib canselor, Ghauth Jasmon dan kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M).

NONEGhauth juga bersetuju membenarkan kumpulan pro-M untuk melantik perunding bagi menguji sistem e-undi yang didakwa mereka dimanipulasikan.

Sekiranya dakwaan berkenaan berasas, Ghauth bersetuju pilihan raya kampus diadakan semula.

Ghauth juga berjanji akan menyiasat dakwaan yang timbalan naib canselor, Azarae Idris menyalah-gunakan kedudukannya dan terbabit memanipulasikan pilihan raya itu.

Selepas pengumuman butiran perbincangan itu, kumpulan pro-M berarak ke Dewan Tunku canselor untuk meraikan keputusan berkenaan.

Pro-Aspirasi Menang Lagi Di 3 Kampus Utama


Kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) menang lagi di tiga kampus utama dalam pilihan raya kampus universiti masing-masing semalam.

Dalam keputusan yang diumumkan lewat malam tadi, kumpulan tersebut menewaskan musuh tradisinya pro-Mahasiswa (pro-M) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Di UKM, pro-A memenangi 19 kerusi berbanding pro-M yang mendapat 15 kerusi. Bebas mendapat 1 kerusi. Universiti tersebut mempertandingkan 35 kerusi.

Di UTM, pro-A memenangi 28 kerusi manakala pro-M mendapat 18 kerusi. Bebas mendapat 5 kerusi. Keseluruhannya 51 kerusi dipertandingkan.

Sementara keputusan di USM pula, pro-A menang besar. Di kampus utamanya di Pulau Pinang, kumpulan tersebut menang bergaya dengan 31 kerusi.

Kempen Facebook, Kemenangan Dibatalkan

Tujuh calon pro-mahasiswa di Universiti Putra Malaysia (UPM) dibatalkan kemenangan mereka dalam pilihan raya kampus itu Selasa lalu.

Pembatalan itu susulan mereka didakwa berkempen secara berkumpulan dan menggunakan Internet melalui laman sosial Facebook.
 
Semua mereka calon umum daripada 16 kerusi, mendapat surat memaklumkan pembatalan itu daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM pada 6.40 petang semalam.

Calon-calon yang mendapat undi terbanyak di kerusi-kerusi berkenaan akan menggantikan kekosongan tujuh kerusi berkenaan.

Menurutnya seorang jurucakapnya Ahmad Faris Rakbi, empat lagi calon kumpulan itu - semuanya peringkat fakulti - tidak menghadapi masalah serupa.

UPM mempunyai 48 kerusi yang dipertandingkan, termasuk 32 kerusi peringkat fakulti - dua daripadanya di kampus Bintulu, Sarawak.
 
Menurut Ahmad Faris, ketujuh-tujuh calon umum itu terdiri daripada dua pelajar fakulti sains iaitu Muhammad Hazim Md Noh dan Siti Hajar Zolqarnain.

Tiga mahasiswa fakulti pertanian iaitu Mohammad Rafi Abu Bakar, Mohd Hanif Md Radzi dan Azlinda Abdullah.

Sementara masing-masing seorang dari fakulti sains perubatan dan kesihatan, Amirul Rahman Mohd Khozam dan Nurul Hanisah M Yunus dari fakulti bahasa moden dan komunikasi.

Menurutnya calon-calon yang bertanding menerima surat daripada HEP, pada Ahad lalu - dua hari selepas penamaan calon - yang melarang mereka berkempen di laman sesawang termasuk rangkaian Facebook.


Calon dakwa pelajar lain yang mempromosikan mereka

Ekoran arahan tersebut, pihaknya telah memberi peringatan kepada pencadang, calon fakulti dan umum mereka agar patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh pentadbiran univerisiti, tambah Ahmad Faris.

"Pelajar lain yang mempromosikan kami di Facebook, bukan calon atau pencadang kami. (Jadi) kami mempertikaikan pembatalan kemenangan kami, sedangkan kami tak buat salah.

"Kami berkempen dengan mengeluarkan poster dengan dicop oleh jawatankuasa pilihan raya," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Faris menyifatkan pembatalan kemenangan mereka adalah "satu pencabulan terhadap demokrasi " di kampus tersebut.

Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat UPM, Abdullah Arsyad berkata, sehingga jam 5 petang ini, kesemua pelajar terbabit gagal mengemukakan sebarang rayuan.

Sehubungan itu, tambahnya, jawatankuasa pemilihan kampus berkenaan akan bersidang malam ini bagi menentukan isu-isu berkaitan pembatalan kemenangan pelajar terbabit.

"Saya difahamkan keputusan akan diberitahu esok," kata Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini.


Sumber : Malaysiakini