Menurut laporan Asia Sentinel yang bertajuk "Murky Arms Deal Linked To International Pattern of Kickbacks" oleh wartawan John Berthelsen bertarikh 16 April 2010, skandal berbilion dolar ini yang didakwa didalangi oleh Najib kini tidak lagi dapat dibendung dalam Malaysia dan kini telah melimpah ke arena antarabangsa.
Asia Sentinel berkata tindakan peguam, William Bourdon, Renaud Semerdjian dan Joseph Breham dengan kerjasama pertubuhan hak asasi Malaysia, Suaram, memfailkan kes tersebut dengan pihak pendakwa Perancis telah memusnahkan perancangan kerajaan Malaysia melalui badan kehakiman dan institusi Parlimen selama lapan tahun untuk menyekat kes ini daripada diadili pada peringkat antarabangsa.
Barisan hakim di Pejabat Pendakwaraya Paris telah menjalankan penyiasatan terhadap pegawai tinggi di Perancis, Pakistan dan negara lain berkaitan urusan pembelian kapal selam yang sama yang didakwa ada kaitan dengan unsur rasuah dan pembayaran komisyen.
Elemen pembabitan Malaysia dalam penyiasatan panjang ini disahkan dalam kertas siasatan bertarikh 4 Disember 2009 dan 23 Februari 2010.