TAIPING 28 Mac - Malaysia kini terbahagi kepada dua - satu Malaysia untuk Perdana Menteri dan isteri beliau sementara satu lagi untuk rakyat bawahan.
Gejala ini menurut Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membawa kepada satu keadaan di mana golongan elit pemerintah bebas melakukan apa sahaja termasuk merampas harta rakyat tanpa disabitkan dengan undang-undang negara manakala golongan rakyat biasa ditindas dan dikenakan hukum walaupun untuk kesalahan yang kecil.
"Umno bercakap pasal Melayu dan mempertahankan Islam tapi ahli keluarga pemimpin Umno, Mirzan anak Dr Mahatir bukan setakat botol arak, kilang arak terbesar di Filipina, San Miguel, dibeli tetapi di mana ustaz Umno saya nak tanya. Kenapa senyap?
"Tetapi apabila tiga gadis Melayu minum arak mereka disebat, dikenakan tindakan. Kalau nak laksanakan hukum syariah tidak ada diskriminasi, ini kalau puak kaya Umno minum arak sampai muntah kedarah, beli kilang arak tidak apa, rakyat biasa miskin buat salah sikit hukum, kenakan tindakan undang-undang. Hukum apa ini? Sebab itu saya katakan ada dua Malaysia - satu untuk Najib dan Rosmah dan satu lagi Malaysia untuk rakyat miskin yang boleh dipijak, ditindas.
"Kes qazaf begitu juga, sanggup ustaz Umno nak lawan supaya kes qazaf ini tidak di bawa ke mahkamah syariah. Islam jenis apa yang mereka perjuangkan? Malah fatwa Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi pun puak-puak ni nak lawan dan perlecehkan, mereka ini memang sejahil-jahil manusia," kata Anwar semasa pelancaran program Gempita Perak Ke Putrajaya di Simpang, Taiping semalam.