SK - KOTA BHARU 30 Mei - KEADILAN akan menyediakan 'roadmap' atau peta perjuangan parti menuju ke Putrajaya untuk rujukan ahli dan dijadikan asas kepada pembentukan strategi dan perancangan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan pusat pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JKPR), Fuziah Salleh berkata sehubungan itu KEADILAN akan melancarkan dalam masa terdekat e-sismep atau sistem menang pilihan raya.
"Sistem ini adalah 'web-based' dan untuk pertama kalinya dalam sejarah politik negara ini KEADILAN menjadi parti perintis kepada sistem yang boleh dimuat turun terus dari JKPR oleh mana-mana cabang diseluruh negara," kata beliau semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2009 hari ini.
Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan menggesa setiap cabang parti supaya membuat persiapan awal dan memperkemaskan jentera pilihan raya masing-masing bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.