Memaparkan catatan dengan label MEDIA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MEDIA. Papar semua catatan

Malaysia Ditangga Corot Indeks Kebebasan Media


SUARA-KEADILAN - SHAH ALAM 3 Mei - Media di Malaysia masih lagi tidak bergerak bebas dan berada dalam cengkaman kerajaan Umno-Barisan Nasional seperti mana yang terbukti oleh kajian Freedom House yang meletakkan Malaysia pada tangga ke-141 dari 196 buah negara.

Kedudukan Malaysia itu di bawah kategori 32 peratus negara yang tidak mempunyai media yang bebas dalam menyampaikan maklumat sebenar kepada rakyat.

KDN, Polis Membuli Media


Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 22 Mac - Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Dalam Negeri mengarahkan ketua pengarang akhbar China Press meletakkan jawatannya baru-baru ini.

Arahan tersebut dibuat berhubung laporan akhbar berkenaan yang mendakwa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan telah mengemukakan surat peletakan jawatannya.

Pegawai Komunikasi NGO itu Yip Wai Fong menyifatkan hukuman yang dikenakan ke atas mangsa, Teoh Yang Koon adalah ekstrim kerana ia terlalu berat bagi media yang berfungsi mendedahkan sesuatu kebenaran.

"Tindakan meminta pihak media digantung jawatannya amat tidak demokratik dan hanya memberi ruang kepada jentera kerajaan untuk membuli akhbar yang kritikal terhadapnya," katanya kepada Suara Keadilan.

Beliau berkata sekiranya terdapat rasa tidak puas hati dengan laporan, langkah yang perlu diambil ialah menghubungi akhbar berkenaan dan cuba mendapatkan pembetulan bukannya menghukum secara membabi buta meskipun faktanya jelas diperolehi.

"Di manakah kebebasan media di Malaysia? Adakah media tidak bebas untuk menerbitkan kebenaran ini kepada umum?"

92 Peratus Rakyat Malaysia Percaya Media Baru

Sebanyak 92 peratus rakyat Malaysia mengikuti media baru seperti laman sosial Facebook dan Twitter, kata pensyarah kanan Universiti Malaya Prof Dr Abu Hassan Hasbullah.

Katanya, jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan Eropah, Malaysia mempunyai lebih ramai pengikut setia media baru yang lebih percayakan laporannya berbanding dengan media arus perdana.

Menggalakkan penyertaan golongan muda dalam jaringan sosial, Abu Hassan mengajak lebih banyak penyertaan golongan tersebut di internet.

Bercakap kepada kira-kira 900 pemuda di Kongres Anak Muda Kebangsaan di Petaling Jaya, Abu Hassan berkata kebangkitan media baru sekarang ini telah menjadi semacam “agama” pada masa kini.

Katanya, untuk membawa perubahan dalam negara ini, orang muda mestilah melangkah setapak lagi memasuki media baru dan meninggalkan politik lama.

Penerangan Diperluas Melalui TVSelangor, Selangorkini

Kerajaan negeri Selangor melalui anak syarikatnya Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB) sedang merancang untuk memperluaskan program penerangan melalui lidah rasminya TVSelangor dan juga Selangorkini.
Pengarang beritanya, Abdul Rahim Zain berkata, usaha itu bertujuan menarik lebih ramai penonton di laman TV dalam talian itu, manakala keluaran akhbar Selangor Kini pula akan ditingkatkan menjadi akhbar mingguan.

"Kita akan terbitkan Selangorkini dua kali sebulan bermula April dan kita juga merancang untuk terbitkan seminggu sekali bermula Jun," katanya dalam satu taklimat media di pejabat penerbitan itu di Shah Alam hari ini. Pada masa ini, Selangorkini diterbit sebulan sekali.

"Rancangan jangka panjang kita ialah untuk tubuhkan biro di setiap negeri dan supaya kita boleh buat liputan berita nasional, bermula di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Kita akan mula menempatkan pemberita sambilan di seluruh negeri bermula akhir tahun ini untuk tingkatkan laporan berita nasional," katanya.

Rais: Penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia Ke Tahap Maksimum

Ketika dunia bercakap mengenai kepentingan maklumat menerusi internet, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pula mahu melaksanakan penguatkuasaan mengikut Akta Komunikasi dan  Multimedia 1998 ke tahap maksimum.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan latihan tertentu untuk menguatkuasakan undang-undang itu.

Rais berkata demikian ketika diwawancara dalam rancangan bual bicara "Soal Jawab" terbitan TV3 yang dipancar secara langsung, malam semalam.

Sekalipun berjanji, kononnya kerajaan tidak akan menyekat kebebasan maklumat internet, Rais memberi alasan penguatkuasaan sedemikian perlu kerana rakyat tidak boleh menerima informasi media baru secara bulat-bulat.

Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk melantik seorang pegawai khas dari Jabatan Peguam Negara untuk meneliti kemungkinan undang-undang sedia ada, diperketat.

Zambry Fail Saman RM100 Juta Terhadap Wan Azizah

Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir hari ini memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga yang lain berhubung artikel yang disiarkan oleh akhbar bulanan parti itu, Suara Keadilan.
Peguam yang mewakili Zambry, Firoz Hussein Jamaluddin, memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menerusi tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Zambry (kiri) menamakan Dr Wan Azizah selaku pemegang jawatan dalam PKR, timbalan presiden Dr Syed Husin Ali yang juga ketua editor Suara Keadilan, penerbit akhbar berkenaan, Pelita Koridor Sdn Bhd, dan pencetak Suara Keadilan, Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata edisi akhbar itu bertarikh 29 Dis 2009 hingga 5 Jan 2010, bertajuk "Zambry Disyaki Pengganas - Gagal masuk ke Amerika Syarikat" mengandungi perkataan berunsur fitnah yang palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan berniat jahat.

Beliau menegaskan bahawa beliau tidak dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat, malah sebenarnya dibenarkan masuk ke negara itu serta diberikan pengiktirafan yang sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak.

'Filem Malaysia Gagal Terap Unsur 'Islam'

Industri perfileman di Malaysia dikatakan masih gagal dalam menghasilkan karya yang mampu menerapkan unsur-unsur Islam untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara lebih berkesan.

Penulis novel popular, Ayat-ayat Cinta yang berasal dari Indonesia, Habiburrahman el-Shirazy, berpendapat pembikin filem di negara ini masih tidak berani untuk menonjolkan seni Islam dan amalannya dalam karya mereka menyebabkan mereka ketinggalan berbanding hasil dari negara jiran itu.

Beliau berkata apa yang paling penting adalah niat dan masyarakat semestinya akan melihat hasil dan ini semua bergantung kepada penulis itu sendiri.

"Malah, di Malaysia mereka masih tidak berani menaikkan nilai dan imej-imej Islam dengan lebih mendalam dan contoh yang paling mudah ialah seperti aktiviti keagamaan di dalam masjid.

"Tetapi di Indonesia, kita mengangkat masjid sebagai nilai Islam dan kalau ada nilai, kena ada simbolnya iaitu masjid itu sendiri. Ini yang kita buat untuk masyarakat di sana ," katanya ketika ditemui semasa program 'Hari Hiburan Islam' di Kota Bharu hari ini.

Buku Terbitan Malaysiakini Dirampas


Dua buku terbitan anak syarikat Malaysiakini, Kinibooks, dirampas dalam dua serbuan yang dijalankan di Pulau Pinang dan Melaka.
Buku - 1FunnyMalaysia (1Malaysia Lucu) dan Where is Justice? (Di mana Keadilan?) - dirampas dari kedai buku Popular di Melaka Shopping Centre, di Melaka, semalam. Sebuah lagi cawangan kedai buku itu di Gurney Plaza, Pulau Pinang diserbu pada 7 Januari lalu.

Menurut pihak berkuasa, kedua-dua buku berkenaan “boleh mendatangkan ancaman kepada ketenteraman awam dan keselamatan serta memudaratkan soal moral.”

Rais: Media Tradisional Jangan Jadi Alat Propaganda


Para pembaca semestinya akan beralih kepada internet untuk mendapatkan berita sekiranya media tradisional kekal dengan gaya penulisan lama yang menampilkan laporan berdasarkan apa yang dirasakan oleh editor perlu dibaca oleh orang ramai sahaja, atau menjadi alat propaganda semata-mata.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata internet yang mencetuskan satu fenomena perubahan baru di seluruh dunia, membolehkan orang ramai membaca apa sahaja yang ingin dibaca mereka.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan persidangan antarabangsa mengenai Kewartawanan yang Bebas dan Bertanggungjawab di Port Dickson, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Penerangan) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Azmi Ali.

Rais berkata wartawan perlu bebas dalam melaksanakan kewajipan membekalkan maklumat kepada orang ramai dengan mematuhi beberapa peraturan mudah, seperti yang pertama kewajipan utama adalah terhadap kebenaran, kesetiaan penuh kepada rakyat, perlu berdisiplin untuk membuat pengesahan terhadap setiap laporan, dan kekal bebas daripada kongkongan pihak yang dilaporkan.